fbpx

Elyana Henti Rawatan Kimoterapi, Beri Ruang Kepada Lebih Memerlukan

Masih bertarung melawan kanser Limfoma yang dihadapinya sejak lapan tahun lalu, penyanyi Elyana memberitahu dia memilih untuk tidak menyambung rawatan kemoterapi bagi merawat penyakitnya itu.

Elyana berkata dia tidak lagi ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kerana ingin memberi ruang kepada mereka yang lebih memerlukan untuk menggunakan kemudahan di hospital.

BACA: Bertarung Melawan Kanser, Elyana Masih Mampu Berpuasa

“Sekarang, negara kita sedang dilanda Covid-19. Jadi, saya rasa lebih ramai lagi orang yang memerlukan kemudahan di hospital berbanding saya.

“Lagi pula, saya sendiri sudah lama sakit dan dapat tahu situasi penyakit saya sekiranya ia teruk. Setakat ini, Alhamdulillah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Elyana, kali terkahir dia menjalani rawatan adalah pada awal tahun lalu. Ujarnya, dia sepatutnya menjalani rawatan kemoterapi namun tidak berbuat demikian kerana memikirkan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

“Ketika itu, saya menjalani rawatan kecemasan iaitu radioterapi memandangkan kanser sudah menular dan memberi kesan buruk pada tulang serta saraf saya. Penularan itu menyebabkan saya hampir lumpuh.

“Selepas itu, doktor menyarankan saya supaya menjalani rawatan kemoterapi, tapi saya tak buat kerana banyak perkara yang saya fikirkan antaranya tanggungjawab saya dan juga anak-anak yang sedang membesar,” katanya.