Sebelum ini hangat diperkatakan mengenai semua bentuk penggambaran dan rakaman media sosial perlu mendapatkan lesen daripada FINAS. Namun, selepas dikecam teruk undang-undang itu tidak akan dikenakan.

Terbaru, pelakon Ellie Suriati mencadangkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melakukan penambahbaikan Akta Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) 1981 selaras dengan perkembangan teknologi.

BACA: Ellie Suriaty Yakin Video Intim Mirip Menteri Tulen

Memetik laporan Malaysiakini, Ellie menggesa untuk melakukan penambahbaikan dengan mengenakan lesen untuk pemilik salauran YouTube kerana golongan tersebut menjana pendapatan lumayan daripada platform berkenaan.

“Sebagai pemain industri kami nak utarakan pendapat sebab ini platform anak seni sebelum sebarang penambahbaikan dilaksana kerajaan.

“Kami mahu akta baru yang lebih kukuh dan boleh membawa kebaikan menyeluruh kepada pelakon, penerbit, royalti dan muzik.

“Antara penambahbaikan itu, menteri diseru melaksanakan lesen pengguna YouTube kerana mereka berjaya dengan kandungan kreatif disiarkan,” katanya.

Menurut Ellie, jika tidak dikenakan lesen tersebut, ada dalam kalangan pemilik saluran YouTube akan mengambil kesempatan mengaut keuntungan peribadi.

Lantang menyatakan pendapatnya, Ellie berkata dia tidak kisah jika saranannya itu dikecam oleh netizen kerana tidak tahan melihat penggiat seni sering menjadi mangsa keadaan.

“Sekiranya mereka ingin mengecam saya, silakan. Kami ada alasan tersendiri kenapa menggesa kerajaan untuk melaksanakan lesen tersebut.

“Kenapa tidak kamu (pemilik saluran YouTube) membayar lesen? Tak suka saya cakap macam tu? Dah tu, kamu hasilkan kandungan kreatif,” katanya.

Bagaimanapun, Ellie berkata lesen tersebut hanya untuk pemilik saluran YouTube bukan untuk pengguna Facebook mahupun TikTok kerana mereka dianggap pengguna home video.