fbpx

Meskipun sudah mempunyai haluan masing-masing bagaimanapun pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas isterinya, Vie Shantie Haroon Khan.

Menurut Eizlan, dia percaya bahawa kasih sayang terhadap anak-anak tidak wajar dibeza-bezakan meskipun ibu bapa sudah bercerai dan mempunyai keluarga lain.

BACA: Demi Anak-Anak, Bekas Isteri Eizlan Yusof Tetap Jaga Hubungan Baik

“Saya puji bekas isteri seorang ibu yang sentiasa memberikan didikan yang baik untuk anak-anak kami.

“Dia memang menitik beratkan keagamaan dan pendidikan anak-anak sebab dia seorang ibu, jadi dia tahu apa yang terbaik untuk anak kami. Saya dan dia juga akan memastikan semua anak-anak tiada perbezaan.

“Walaupun saya ada anak bersama isteri sekarang dan dia pun ada anak dengan suaminya, tetapi kami selalu cakap mereka ini lima beradik. Tak mahu ada jarak antara mereka,” katanya.

Eizlan pernah mendirikan rumah tangga dengan Vie Santie pada Julai 2007 namun bercerai pada 2014. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia.

Eizlan kemudian berkahwin dengan Natasha Rosa Boudville pada Disember 2019 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Zaelynn Rosa pada April 2021.