Pendakwah bebas, Ebit Lew berharap keluarga Allahyarham Mila Sharmila Samsusah atau Bella tabah dengan ujian menimpa mereka.
Memetik BH Online, Ebit berkata kehadirannya di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini untuk memberikan semangat kepada keluarga arwah.
BACA: 90 Gambar Dipercayai Unsur Lucah Dalam Telefon Ebit Lew
“Allah dekat dengan insan yang ditimpa musibah, semoga keluarga Bella tabah dengan ujian dihadapi. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Bella.
“Allah akan memberi kebaikan kepada insan sebanyak mana mereka ditimpa musibah. Mudah-mudahan Allah memberi kesabaran, rahmat dan kebaikan mencurah-curah kepada keluarga ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ebit turut berkesempatan solatkan jenazah Bella di HSI sebelum dibawa ke Masjid Datuk Bentara di Batu Pahat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang.
“Ya, saya imamkan solat jenazah di dalam tadi, nanti di masjid di Batu Pahat, ada solat jenazah lagi sekali,” katanya.
Terdahulu, Bella yang merupakan ibu tunggal dua anak itu dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu. Selepas 38 hari kehilangannya, polis Johor akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah.
Semalam polis mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui adalah milik Bella.