fbpx

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkongsi berita gembira kepada warga Bukit Antarabangsa, Ukay Perdana dan Sungai Sering semalam (31 Oktober) berkenaan SK Ukay Sungai Sering yang bakal dibina tidak lama lagi.

Mengikut posting yang dibuat dalam Facebooknya itu, beliau mengumumkan berita baik ini dalam Majlis Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-sama Komuniti yang turut dihadiri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap ADUN Bukit Antarabangsa.

SK Ukay Sungai Sering, sebuah sekolah baharu yang telah diluluskan pembinaannya ini telah pun selesai dilakukan berkenaan urusan pemilikan tapak.

Jelasnya lagi, kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses untuk melantik perunding bagi pelaksanaan projek.

Selain dapat menyelesaikan masalah ibu bapa yang terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah yang agak jauh ketika ini, pembinaan sekolah baharu ini juga dapat menyelesaikan masalah sekolah padat dengan menyuraikan sebahagian murid ke sekolah baharu.

Pasti mak ayah menarik nafas lega kan? Untuk info anda, kawasan Bukit Antarabangsa mempunyai kepadatan penduduk tinggi. Jadi berita ini amat dinanti-nantikan mereka selepas 14 tahun di situ.

Projek pembinaan Sekolah Kebangsaan Ukay Sungai Sering dijangka bermula pada November tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya penghujung 2025.

Di samping itu, projek sekolah yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 ini juga dikatakan mampu memuatkan kira-kira 1,000 pelajar nanti.

Dalam masa yang sama, Radzi Jidin turut menyatakan bahawa KPM sentiasa berusaha menggalakkan penglibatan ibu bapa dan komuniti untuk bersama-sama KPM dalam program dan aktiviti yang dilaksanakan seperti ini.

Majlis yang diadakan ini turut menjadi platform untuk berkongsi aspirasi serta pandangan ke arah menjayakan transformasi pendidikan demi generasi pewaris negara.

“Pada kesempatan ini, saya jelaskan mengenai pendekatan yang telah, sedang, dan akan dilaksanakan dalam usaha mentransformasi pendidikan, antaranya merangkumi pendigitalan, pengajaran dan pembelajaran dan infrastruktur sekolah.”