Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bukan laluan untuk pelarian menetap secara kekal, memperoleh status Penduduk Tetap (PR) atau mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, pelaksanaan program itu juga tidak bermaksud kerajaan membuka ruang kepada kemasukan pelarian baharu atau membenarkan mereka bekerja secara bebas di negara ini.
Menurutnya, kerajaan menetapkan 1 Januari 2023 sebagai tarikh akhir kelayakan, iaitu hanya individu yang berada di Malaysia sebelum tarikh berkenaan boleh dipertimbangkan untuk menyertai DPP.
“DPP juga bukan galakan atau faktor penarik kepada pelarian baharu untuk memasuki Malaysia,” menurut kenyataan KDN hari ini.
KDN memaklumkan, pelarian yang memasuki negara selepas tarikh berkenaan tidak layak dipertimbangkan, manakala pemilikan kad atau surat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) tidak memberikan kelayakan secara automatik.
Menurut kementerian itu, kerajaan tetap meneruskan usaha penghantaran pulang pelarian ke negara asal serta penempatan semula ke negara ketiga.
“Pelaksanaan DPP serta pemberian akses pekerjaan bersyarat tidak mengubah matlamat tersebut,” menurut kenyataan itu.
KDN menjelaskan, DPP merupakan mekanisme untuk mengenal pasti, menyaring, mendokumentasikan dan memantau pelarian sedia ada sementara penyelesaian akhir dilaksanakan mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan memaklumkan sebarang akses pekerjaan kepada pemegang DPP hanya bersifat sementara, terhad dan tertakluk kepada syarat serta kelulusan kerajaan.
Menurutnya, kebenaran itu mengambil kira keperluan industri, khususnya sektor yang masih berdepan kekurangan tenaga kerja bagi pekerjaan bercirikan 3D iaitu kotor, berbahaya dan sukar yang kurang diceburi rakyat tempatan.
“Keutamaan peluang pekerjaan kepada warganegara Malaysia tetap terpelihara, selaras dengan dasar penggajian pekerja asing dan kepentingan keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.
KDN turut menjelaskan, akses pekerjaan secara sah membolehkan pelarian memperoleh kemahiran, pengalaman dan rekod pekerjaan yang boleh disahkan bagi membantu mereka memenuhi kriteria penempatan alternatif ke negara ketiga.
Sementara itu, kementerian berkenaan memaklumkan kerajaan mengambil alih fungsi pendaftaran dan penentuan status pelarian yang sebelum ini dilaksanakan secara unilateral oleh UNHCR menerusi DPP yang mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026.
Menurutnya, program itu membolehkan pengesahan identiti, pendaftaran biometrik, saringan keselamatan serta pemantauan keberadaan pelarian dilaksanakan secara langsung oleh pihak berkuasa Malaysia.
KDN menegaskan, DPP bukan dasar penempatan kekal pelarian di Malaysia, sebaliknya bertujuan memastikan keberadaan mereka diurus secara teratur dan terkawal sementara usaha penghantaran pulang atau penempatan semula diteruskan.