fbpx

“Doa Anak Nak Lihat Saya Sihat Termakbul”

Awal Disember tahun lalu, penyanyi Elyana memaklumkan berita gembira selepas 11 tahun berjuang melawan kanser limfoma akhirnya dia disahkan bebas daripada penyakit itu.

Elyana berkata impian dan doa anaknya, Cinta Sumayyah untuk melihat ibunya sembuh serta menjadi ibu normal seperti orang lain juga termakbul.

BACA: Bebas Kanser, Elyana Dedah Identiti Doktor Yang 10 Tahun Merawatnya

“Anak selalu harapkan saya menjadi ibu normal seperti orang lain yang tidak sakit dan menemani dia ke mana sahaja,” katanya.

Kata Elyana lagi, ketika diberikan kesakitan dia sentiasa berdoa dia mahu menjaga anaknya sehingga dewasa dan bersyukur Allah memakbulkan doanya.

“Saya selalu percaya apa yang kita fikir atau doa, kemungkinan akan terjadi. Disebabkan itu, saya memasang impian nak hidup lama untuk menemani anak-anak sehingga besar, sampailah ada yang mampu menjaganya seperti saya menjaga mereka sejak kecil. Itulah antara doa saya dan Allah SWT makbulkan,” katanya.

Dalam pada itu, Elyana berkata dia masih terasa seperti bermimpi apabila doktor memaklumkan dia sudah bebas daripada kanser.

“Sampai sekarang rasa seperti mimpi, apa yang saya doakan sudah berlaku akhirnya. Kini, barulah saya dapat rasa dan percaya frasa ‘sabarlah setiap ujian pasti akan ada pelangi di hadapan’.

“Kini perkara tersebut benar-benar berlaku dan inilah yang pelangi yang saya nanti-nantikan selepas 10 tahun bertarung dengan kanser,” katanya.

Sementara itu, Elyana memaklumkan dia masih perlu menjalani empat lagi sesi kimoterapi meskipun sudah disahkan bebas kanser.