fbpx

DJ Lin Kini Berhijab, Rasa Lebih Tenang

Penyampai radio Suria FM, DJ Lin mengesahkan sudah berhijab sepenuhnya selepas pulang daripada mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini.

Memetik BH Online, DJ Lin berkata dia sudah beberapa kali berniat untuk berhijab dan pemergian ibunya tahun lalu serta abangnya pada 27 Mac lalu turut mempengaruhi keputusannya.

BACA: “Keadaan Badan Saya Sudah Rosak Sebenarnya” – DJ Lin

“Saya rasa lebih tenang, mungkin inilah patut saya lakukan sejak dahulu. Sebenarnya sudah beberapa kali saya berniat memakai hijab, tetapi tidak tahu apa yang membuatkan saya lambat berbuat demikian.

“Namun, apa yang terjadi dalam hidup saya, terutamanya selepas ibu meninggal dunia, disusuli abang. Ia benar-benar menyedarkan saya,” katanya.

Menurut DJ Lin lagi, kehilangan orang tersayang membuatkan dirinya sedar bahawa usianya semakin meningkat dan Allah mahu memberikan kesedaran kepadanya.

“Ia juga buat saya tersentak sebab memikirkan makin lama usia semakin meningkat. Saya pun sudah 48 tahun,” katanya.

“Baru-baru, abang meninggal dunia pada usia 59 tahun dan sebelum itu, abang berusia 51 tahun. Jadi, saya rasa mungkin ini Allah nak bagi saya kesedaran agar saya kembali,” katanya.

Berkongsikan pengalamannya menunaikan ibadah umrah, DJ Lin berkata apabila berhijab di Tanah Suci dia tidak rasa panas meskipun dipenuhi dengan ramai orang.

“Bila memakai hijab di Tanah Suci, saya tak rasa panas walaupun cuaca panas dengan orang ramai. Ketika saya berada di Makkah dianggarkan enam hingga lapan juta umat Islam di sana.

“Tetapi walaupun pakai tudung labuh, sarung lengan, jubah dan sebagainya, saya tidak pula rasa panas. Malah, saya rasa selesa.

“Bila tak pakai, saya rasa kekok pula. Saya rasa lebih tenang, mungkin inilah patut saya lakukan sejak dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, DJ Lin berkata sebaik sahaja dia pulang sahaja ke tanah air dia nekad untuk terus berhijab. Malah, anak-anaknya juga turut mengharapkan dia bertudung.

“Selepas selesai menunaikan umrah, saya tanamkan dalam diri bila sampai sahaja tanah air, saya mahu terus kekal berhijab. Ini juga adalah perkara baik dan dituntut. Saya juga rasa hidup sekarang lebih sempurna.

“Jujurnya, anak-anak saya sudah lama mengharapkan ibunya bertudung. Jadi, merekalah yang paling gembira melihat saya bertudung. Terima kasih Allah kerana menggerakkan hati saya,” katanya.