fbpx

Dikhabarkan Berkahwin, Laudya Cynthia Bella Umum Bersara

Selepas timbul desas-desus mengatakan pelakon cantik ini sudah berkahwin dengan lelaki dubai, Laudya Cynthia Bella mengumumkan persaraannya dari dunia seni.

Memetik laporan portal Indonesia, pelakon berusia 34 tahun itu berkata dia sudah lama berniat untuk berhenti daripada dunia seni.

BACA: Laudya Cynthia Bella Nikah Lelaki Dubai?

“Mohon doakan saya. Insya-Allah tiada filem lagi (berhenti berlakon). Semoga istiqamah. Kali terakhir saya berlakon menerusi filem Buya Hamka (2021).

“Saya sudah lama memasang niat untuk bersara, tapi manusia itu lemah. Semoga saya dibantu oleh Allah SWT,” katanya.

Menurut Laudya lagi, dia nekad untuk berhenti daripada lakonan kerana bukan saja mahu berjaya di dunia, malah di akhirat juga.

“Saya ingin berjaya di dunia dan akhirat. Masih banyak yang perlu saya pelajari dan lalui selepas ini,” katanya.

Baru-baru ini tular di aplikasi TikTok video pernikahan seorang wanita yang didakwa pelakon terkenal Indonesia itu dengan jejaka berkenaan.

Bagaimanapun, pengurusnya menafikan berita pernikahan itu serta menyifatkan ianya khabar angin tidak benar.