Pelakon dan pengarah Elie Suriaty kini sedang bahagia menyulam hubungan cinta dengan lelaki berusia lebih 10 tahun muda daripadanya.
Memetik Kosmo, Ellie bagaimanapun memilih untuk merahsiakan identiti kekasihnya itu serta terharu masih ramai lelaki mahu mendekati dirinya meskipun usianya sudah separuh abad.
BACA: “Hanya Kerana Pangkat Datuk, Semua Kena Ikut Telunjuk Dia” – Ellie Suriaty
“Ada ramai yang ingin berkenalan dengan saya, tetapi mereka itu semua hanya kawan biasa, melainkan dia, kerana dia istimewa pada saya.
“Sekarang kami sedang saling mengenali. Sejujurnya jika ada jodoh saya bersedia untuk bergelar isteri semula, tetapi perkara sebegitu lebih baik serahkan kepada Tuhan yang menentukan.
“Siapa orangnya itu biarlah rahsia. Kami saling mengenali sudah lebih setahun dan dia juga orang dalam industri hiburan,” katanya.
Sementara itu, Ellie berkata dia tertarik dengan kesungguhan kekasihnya yang menerima statusnya sebagai ibu tunggal dengan dua anak serta mengharapkan keluarga lelaki tersebut dapat menerima dia seadanya.
“Saya kalau boleh tidak mahu bercerita lebih-lebih sebab nanti kalau tidak jadi, malu. Tetapi kalau ada jodoh saya okey saja. Usia dia lebih muda daripada saya dan dia juga bujang. Bagi saya, apabila dia boleh menerima anak-anak, itu sudah memadai.
“Saya juga kena pastikan keluarga dia boleh terima saya dengan anak-anak atau tidak. Pengalaman berkahwin sebelum ini membuatkan saya faham tentang hubungan dengan sanak saudara,” katanya.
Dalam pada itu, Ellie berkata kekasihnya itu lebih tertarik dengan wanita berusia dan suka dengan wanita yang matang. Namun, Ellie mengaku pada usianya 53 tahun dia malu untuk naik pelamin lagi.
“Saya ada bertanyakan kepada dia kenapa suka dengan saya, tetapi jawabnya kerana senang bercinta dengan wanita matang. Tetapi pada saya ini bukan satu perkara mudah.
“Orang akan mempersoal mengapa bercinta dengan orang tua. Saya sendiri berasa sukar kerana umur saya 53, bukan 35. Saya bukan tidak mempercayai dia, tetapi saya kurang percaya dengan diri sendiri, adakah mampu untuk menjalani semua ini,” katanya.
SUMBER: Kosmo