fbpx

Dayangku Intan Pertahankan Diri Kes Perlekeh Paramedik

Susulan laporan polis dibuat terhadapnya oleh pihak Hospital Putrajaya Rabu lalu didakwa memperlekehkan kakitangan hospital itu, penyanyi popular era 80-an, Dayangku Intan bagaimanapun tetap dengan pendiriannya bahawa tindakannya itu tidak salah.

Penyanyi itu berkata dia berharap untuk menyelesaikan perkara itu dengan cara baik tetapi pihak hospital tidak cuba untuk menghubunginya untuk berbincang sebaliknya terus membuat laporan polis.

BACA: Hospital Putrajaya Buat Laporan Polis Terhadap Diva AA, Dayangku Intan

“Tak mengapa mereka buat laporan polis. Itu tanggungjawab mereka. Apa pun, saya tetap dengan pendirian yang mana apa dibuat (memuat naik video) tak salah,

“Dari awal saya berharap perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik. Sepatutnya, perkara ini tidak boleh dipandang daripada sebelah pihak saja. Kena tengok video saya sepenuhnya.

“Selepas saya memuat naik video itu, tidak ada sesiapa atau wakil hospital menghubungi saya untuk berbincang. Kalau ada, saya sedia memberi kerjasama,” katanya kepada Harian Metro.

Mempertahankan tindakannya memuat naik video tersebut, Dayangku Intan berkata teguran dibuat menerusi video itu bukan kepentingan diri sendiri sebaliknya untuk semua pihak.

“Teguran saya adalah kelebihan untuk semua. Bukan untuk saya seorang saja. Kalau nak tahu, sewaktu saya di sana tidak ada orang di situ. Kaunter Covid-19 kosong.

“Saya pula tidak berani nak terus masuk ke bahagian kecemasan sebab takut saya ada wabak itu. Apatah lagi, ketika itu saya ada simptom batuk dan demam.

“Malah, sampai sekarang tekak dan dada saya masih kering. Batuk pula kejap ada, kejap tidak. Cuma, saya sudah tidak demam,” katanya.

Terdahulu, Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan dua video yang menjejaskan imej hospital itu dan kredibiliti kakitangan serta pegawai perubatan dalam mengendalikan Covid-19.

Video pertama dipercayai milik Dayangku Intan mempunyai impak tontonan tinggi dan juga video milik Azwan Ali yang menyokong isu dibicarakan oleh Dayang dimana dia mendakwa mendapat layanan kurang memuaskan.