fbpx

David Teo Kurangkan Bayaran Artis Untuk Terus Buat Filem

Rasanya kita semua sedia maklum akan ketenatan industri filem tempatan yang semakin kurang mendapat sambutan dari khalayak ramai. Berapa buah filem sahaja tahun ini mampu memberikan pulangan modal selepad ditayangkan di pawagam.

Menyedari situasi itu, David Teo mengambil langkah drastik untuk memotong kos produksi & krew serta mengurangkan bayaran pelakon yang terlibat dalam sesebuah filem.

“Walaupun apa yang terjadi kepada industri filem negara kita, MIG akan terus menghasilkan filem tanpa henti dalam apa jua keadaan. Sebagai penghasil filem kami perlu mempertahankan industri filem tempatan. Bayangkan kalau saya berhenti buat filem, bagaimana dengan pendapatan pekerja atau krew produksi syarikat saya?”

“Bagaimana pula mereka hendak sara kehidupan mereka dan keluarga mereka. Jadi salah satu caranya adalah selain memotong kos produksi, krew, saya juga terpaksa mengurangkan bayaran pelakon dan artis dibawah naungan saya supaya mereka terus ada job kerana tidak ramai yang berani buat filem sekarang ini,” ujar David Teo kepada Murai hari ini.

David Teo menambah para pelakon & artis yang memahami situasi ketika ini pasti akur dan setuju dengan keputusan beliau. Menurutnya lagi, MIG kini akan mempertingkatkan kualiti dan perincian terhadap sesebuah filem itu sebelum memulakan produksi.

“Jika dulu saya boleh hasil beberapa buah filem dalam 1 bulan tetapi kini sebulan mungkin 1 filem sahaja kerana kami akan menjamin kualiti kepada setiap filem. Ianya juga memakan masa yang sama supaya lebih perincian dilakukan supaya kos yang dikeluarkan tidak sia-sia dan filem yang lebih kualiti dapat dihidangkan kepada penoton,” tambahnya lagi. (rtky/m)