fbpx

AC Mizal Akan Lancar Stesen TV Sendiri April Depan

Pengacara, pelakon dan usahawan Dato’ AC Mizal menjelaskan yang dia bakal membuka syarikat penyiarannya sendiri April depan. Dia bakal melancarkan stesen TV online pertama di Malaysia itu nyata penuh teruja untuk menjalankan operasi yang akan bermula sekitar Mac ini.

“Dalam dunia perniagaan ini kita sentiasa buat benda yang kita selalu arif. Macam saya sudah ada hotel di Danok dan Bali. Sekarang masa untuk saya melibatkan diri dalam dunia penyiaran dengan TV online akan dilancarkan pada April ini,” ujarnya.

BACA: Dato’ AC Mizal Nafikan Minta Layanan VVIP Dari Pihak Pengurusan

Idea untuk membuka stesen TV online pertama di Malaysia tercetus selepas beliau terlibat dengan dunia hiburan selama 23 tahun dan mahu memberi peluang kepada bakat baru.

“Sudah 23 tahun saya dah buat semua dalam industri. Tak salah kalau benda ini jadi platform untuk artis baru dan tiada lagi rancangan nyanyian yang membuka platform untuk penyanyi dan yang hanya ada sekarang adalah Muzik Muzik dan di acara anugerah sahaja,” tambahnya.

Minta Pandangan Astro, Masih Kekal Sebagai Pengacara

Dato’ AC Mizal ada meminta pandangan daripada pihak Astro mengenai stesen yang mahu dikendalikan ini dan dia juga tidak akan berganjak daripada menjadi seorang pengacara atau apa-apa sahaja pekerjaan yang melibatkan dirinya sekarang ini.

“Saya akan meneruskan pekerjaan saya seperti biasa. Lagipun saya merupakan artis Astro dan ini tidak akan menganggu kerja-kerja saya yang lain. Memang susah apabila mahu membuka sebuah stesen baru iaitu dari segi pemasaran. Astro ada juga membantu dari segi pengalaman”

“Dari segi kos pula ianya memang besar kerana kita perlukan kamera dan lain-lain peralatan untuk mengikut standard yang sedia ada,” katanya yang memilih untuk merahsiakan kos keseluruhan untuk membina syarikat penyiaran itu.

Sementara itu Dato’ AC Mizal akan membuka peluang kepada orang ramai di luar sana untuk hadir ke ujibakat mencari pengacara dan DJ yang akan berlangsung pada 1 Mac ini di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. (rtky/hfz)