Datin Heliza Helmi Terkejut Rumah Tangga Didakwa Berantakan

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi mengakui terkejut serta menafikan dakwaan kononnya rumah tangganya dengan suami, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman kini sedang bergolak.

Memetik HibGlam, Heliza berkata hubungannya dengan suami dalam keadaan baik-baik saja dan mereka masih bahagia bersama.

BACA: “Syarikat Saya Patuh Undang-Undang, Syariah” – Suami Heliza

“Saya memang sangat terkejut apabila mengetahui tentang hal ini. Persoalan pertama ialah dari mana datangnya dakwaan ini.

“Kedua, individu yang menyebarkan berita ini, dia dengar dari mana dan siapa orang itu kerana sebelum saya menjawab persoalan sebegini, saya perlu tahu dari mana puncanya.

“Macam mana saya hendak jawab perkara sebegini kerana mungkin direka atau apa tujuannya. Tetapi, apa-apa pun alhamdulillah dia (suami) ada bersama dengan saya untuk program hari ini (Rabu),” katanya.

Sementara itu, Heliza berkata dia sedar mungkin kerana kurang memuat naik gambar bersama suami di Instagram membuatkan spekulasi berkenaan timbul.

“Masyarakat sekarang ini ada banyak masa jadi mereka akan tolong fikir tentang hal masyarakat (orang) lain. Saya buat itu (tidak berkongsi gambar) bukan sebab tertentu atau sesiapa.

“Tetapi disebabkan diam itu lebih baik. Jadi apabila saya rujuk kepada guru (para ulamak), memang ada kebaikannya apabila berdiam. Saya yakin dan percaya anda semua suka melihat perkara yang baik.

“Saya rasa perkara ini (rumah tangga bermasalah) tidak wujud pun, dan saya harap kalian boleh doakan yang baik-baik untuk saya. Sejujurnya saya terkejut apabila isu sebegini timbul kerana pada saya, tiada apa pun yang berlaku,” katanya.

SUMBER: HibGlam

×