Tiada sebarang maklumat peribadi pengguna dikumpul atau didedahkan dalam proses penggunaan data telefon mudah alih (MPD) yang kini digunakan untuk menjana statistik rasmi negara dalam sektor teknologi maklumat dan pelancongan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, semua data yang dikumpul daripada syarikat telekomunikasi (MNO) adalah dalam bentuk tanpa identiti (anonymised).

Tegasnya, data itu tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi boleh dikenal pasti (Personally Identifiable Information- PII).

Menurut MCMC, data yang dikumpul digunakan secara eksklusif untuk penjanaan statistik rasmi yang dapat menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dalam dua sektor utama, iaitu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pelancongan.

Bagi sektor ICT, data MPD digunakan untuk menghasilkan statistik terperinci seperti jumlah langganan jalur lebar mudah alih yang aktif serta kadar penembusan mengikut peringkat negeri, daerah, mukim, kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, dalam sektor pelancongan, MPD digunakan untuk menjana indikator seperti jumlah pelawat dan jumlah perjalanan pelancongan domestik, jelas MCMC.

“Data MPD yang diminta daripada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) adalah dalam bentuk yang telah dianonim (anonymised) dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi boleh dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.

Semua data MPD adalah dalam bentuk tanpa identiti.

Beberapa hari lalu, muncul segelintir pihak yang cuba melakar naratif seolah-olah kerajaan sedang masuk fasa ‘pengintipan besar-besaran’ ke atas rakyat menerusi MPD.

Kononnya, ini semua dilakukan secara senyap, dengan data lokasi, panggilan dan aktiviti internet pengguna dikutip bulat-bulat untuk tujuan yang misteri.

Tambah kenyataan MCMC, tiada individu atau pelanggan yang boleh dikenal pasti melalui data yang dikumpul pihaknya.

Bagi memastikan keselamatan dan kerahsiaan data kekal terjamin, MNO diberikan dua pilihan proses, jelas suruhanjaya itu.

“Memproses data MPD di persekitaran dalaman mereka yang selamat dan menyerahkan output yang telah dianonim dan diagregatkan kepada MCMC.

“Atau bagi MNO yang tidak mempunyai keupayaan pemprosesan dalaman, mereka boleh menyerahkan data yang telah dianonim kepada MCMC untuk diproses mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

MCMC menjelaskan bahawa penggunaan MPD sebagai sumber baharu bagi statistik kebangsaan adalah satu hala tuju strategik kerajaan bagi memperkukuh kualiti dan ketepatan masa dalam penghasilan data untuk tujuan perancangan dan dasar awam.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (International Telecommunication Union-ITU) dan Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Data Raya dan Sains Data.

“Selama dua tahun kebelakangan ini, pelbagai sesi libat urus secara menyeluruh telah dijalankan bersama semua syarikat telekomunikasi bagi memastikan kefahaman bersama terhadap keperluan data, kaedah pemprosesan dan langkah perlindungan privasi,” jelas kenyataan tersebut.

Kata MCMC, antara sesi utama ialah Bengkel Kebangsaan MPD yang berlangsung dari 2 hingga 25 September 2024.

Katanya, bengkel itu dihadiri oleh wakil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ITU, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pengendali utama MNO seperti CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL.

MCMC turut menjelaskan bahawa pendekatan itu adalah selari dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa dan mencontohi model penggunaan data tanpa identiti yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara seperti Indonesia dan Brazil.

“Negara-negara ini menggunakan data telekomunikasi yang telah dianonim untuk memperkukuh statistik kebangsaan tanpa menjejaskan hak privasi pengguna,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCMC memberi jaminan bahawa perlindungan terhadap maklumat peribadi pengguna kekal menjadi keutamaan dalam setiap peringkat pelaksanaan inisiatif tersebut.

×