Tercalon sebagai finalis kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, pelakon Bell Ngasri menyifatkan ia sejarah peribadi buat dirinya.
Memetik BH Online, Bell berkata dia mengakui terkejut apabila namanya tersenarai dalam Top 5 dan sudah pasti dia menyimpan harapan untuk menang selepas 30 tahun berada dalam industri seni.
BACA: Bell Ngasri Nak Belanja ‘Makan Tengah Hari’ Di Bulan Ramadan Kalau Menang ABPBH35
“Memang saya terkejut. Ini kali pertama nama saya melepasi senarai Top 5 ABPBH selepas sekian lama dimasukkan dalam senarai pencalonan awal.
“Bohonglah kalau cakap saya tidak simpan harapan untuk menang. Selepas tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni, tentu saya teringin hendak menang trofi ABPBH yang boleh dijadikan kenangan.
“Dapat menang sekali pun saya sudah bersyukur. Tidak perlu hendak menang setiap tahun. Kalau dapat ‘job’ tiap-tiap tahun, itu saya hendak (ketawa),” katanya.
Dalam pada itu, Bell mengakui watak Barkoba yang dilakonkannya antara faktor dirinya menjadi sebutan ramai serta mengucapkan terima kasih buat Allahyarham Mamat Khalid kerana watak ikonik itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Allahyarham Mamat Khalid kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk membawakan watak yang cukup ikonik itu. Harapan saya semoga ada kesinambungan telefilem Puasa 19 kerana saya terima banyak permintaan peminat.
“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua pengarah yang menawarkan peluang saya berlakon dan peminat yang beri sokongan sejak dahulu. Kalau bukan kerana mereka, saya tidak berada pada kedudukan hari ini,” katanya.