Berkongsikan pengalamannya dijangkiti virus Covid-19 pada awal Disember lalu, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha berkata dia tidak mengalami gejala teruk seperti hilang deria rasa. Bagaimanapun, selepas pulih daripada virus tersebut dia kini kerap rasa haus dan cepat mengantuk.
BACA: Tak Rai Hari Jadi, Daiyan Trisha Turun Padang Bantu Mangsa Banjir
“Mula-mula saya tak alami gejala yang teruk. Saya kuarantin selama 10 hari tapi hari ketiga paling banyak simptom saya alami.
“Tapi hari keempat dan seterusnya dah semakin baik. Alhamdulillah saya pun tak ada hilang deria rasa cuma ada la sakit tekak dan sakit kepala.
“Selepas saya dah bebas daripada Covid-19, kesannya saya cepat mengantuk dan cepat rasa haus. Orang kata memang dua minggu dalam proses nak sembuh,” katanya.
Dalam pada itu, Daiyan meluahkan rasa syukur tiada lagi sikap skeptikal masyarakat untuk berada dekat dengan bekas pesakit Covid-19.
“So far Alhamdulillah… tak ada bersikap skeptikal untuk dekat dengan bekas pesakit Covid. Mungkin dahulu ada sebab tak ramai dalam kalangan kita yang kena.
“Tapi sekarang ini, ahli keluarga, rakan baik sendiri pun dah kena. Apabila saya kena, ada kawan pun DM cakap dia pun sama,” katanya.