Adik kepada pelakon Rozita Che Wan iaitu Rubytah meluahkan rasa sedih melihat kakaknya dikecam susulan dakwaan berhutang hampir RM1 juta dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Memetik BH Online, Rubytah bagaimanapun berkata dia kagum melihat kakaknya itu tetap tenang meskipun berdepan isu berkenaan.
BACA: Che Ta Dedah Bayar Cukai LHDN RM50,000
Isteri kepada pelawak Lan Pet Pet itu turut menyifatkan Rozita atau Che Ta seorang yang pemurah dan sehingga kini masih membelikan baju raya buat mereka adik-beradik.
“Sebagai adik, tentulah saya kasihan dan tak sampai hati lihat kakak dikutuk, sedangkan dia adalah wanita yang baik dan pemurah.
“Dari kecil, kami sekeluarga susah, tetapi Rozita jenis utamakan keluarga. Dia bekerja keras mengubah nasib keluarga. Sampai hari ini, Rozita masih belikan baju raya walaupun adik-beradik sudah berumah tangga. Dia jugalah menjaga emak,” katanya.
Sementara itu, Rubytah berkata kakaknya itu tidak banyak berkongsi mengenai masalahnya namun ada bercerita keadaan sebenar.
“Bila adik-beradik tanya okay ke? Rozita hanya menjawab Allah ada. Dia tak banyak mengadu, tapi ada bercerita keadaan sebenar. Tapi, perkara ini tak boleh dikongsikan kepada umum.
“Orang tak tahu cerita sebenar, tapi bila Rozita berdiam, orang hentam. Hanya dia tahu kebenaran. Bagi saya, ini bukan satu musibah, sebaliknya ujian untuk Allah angkat lagi darjat kerana Allah tahu Rozita mampu mengharunginya,” katanya.
SUMBER: BH Online