“Che Ta Masih Belum Bayar Hutang MARA RM443,392…”

Majlis Amanah Rakyat (MARA) mendedahkan pelakon Rozita Che Wan masih belum melunaskan baki hutang tertunggaknya berjumlah RM443,392.

Memetik BH Online, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menafikan dakwaan pelakon itu sebelum ini kononnya semua hutang pinjaman hampir RM1 juta sudah dibayar sepenuhnya.

BACA: “Semua Dah Selesai, Sudah Tiada Kaitan Dengan Mara”

Setakat 18 Februari lalu, Che Ta membayar hutangnya berjumlah RM689,307.59  kira-kira RM150,000 bayaran secara tunai di pejabat MARA dan selebihnya secara secara dalam talian menerusi akaun.

Tambahnya lagi, bayaran itu dibuat bagi menangguhkan tindakan pelaksanaan penghakiman untuk mahkamah melelong hartanya yang boleh menyebabkan kebankrapan.

Menurut Asyraf Wajdi lagi, MARA memberi tempoh akhir bayaran itu sebelum akhir bulan ini dan tindakan tegas terhadap pelakon itu  akan diambil.

“Rozita belum bayar habis hutangnya dengan MARA dengan baki tertunggak berjumlah RM443,392. yang perlu dilunaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac ini.

“Jadi, dakwaan kononnya pelakon itu sudah melangsaikan semua hutangnya dengan MARA adalah tidak benar. Jika dikira, baki hutang Rozita itu jika dibayar boleh menampung hampir 50 pelajar yang belajar di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM),” katanya.

Pada Februari lalu, Che Ta memberitahu dia sudah melangsaikan tunggakan hampir RM1 juta. Sementara itu, Che Ta berkata sebelum ini dia mengunci mulut mengulas mengenai isu berkenaan kerana merasakan orang ramai tidak perlu tahu mengenai perkara itu.

SUMBER: BH Online

×