fbpx

Cabaran Rumah Tangga, 8 Tahun Lisdawati Hadap Sikap Baran Fauzi Nawawi

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti akan berdepan ujian serta melalui pasang surut dalam hubungan termasuklah pasangan selebriti, Fauzi Nawawi dan Lisdawati.

Memetik Kosmo, Lisdawati meluahkan rasa syukur perkahwinannya sepanjang 15 tahun mendirikan rumah tangga kekal harmoni meskipun berdepan cabaran.

BACA: Mahu Gambar Tutup Aurat, Lisdawati & Suami Bersanding Kali Kedua

Lisdawati berkata dia juga berdepan ujian lebih-lebih lagi untuk menangani sikap ‘panas’ suami serta mengakui setiap lima tahun perkahwinan ada bacarannya.

“Alhamdulillah, usia perkahwinan kami kini mencecah 15 tahun. Setiap lima tahun ada cabarannya. Saya tahu suami jenis cepat ‘panas’ (pemarah), jadi saya kena tahu untuk hadapinya,” katanya.

Kongsi Lisdawati lagi, lapan tahun pertama kesabarannya teruji apabila perlu bersabar dengan sikap panas baran suaminya, namun kini suaminya lebih tenang.

“Lapan tahun pertama perkahwinan, kesabaran saya teruji dengan sikap suami. Tapi selepas berdoa, alhamdulillah dia banyak berubah.

“Doa seorang isteri memang terbaik. Sekarang suami lebih ‘cool’. Sikit-sikit biasalah. Kalau tanya saya, 70 peratus sifat suami telah berubah daripada seorang yang panas baran, jadi lebih tenang.

“Saya tidak boleh ubah diri suami 100 peratus sebab saya sendiri pun ada kekurangan dan kelemahan. Apa yang penting kami saling menerima,” katanya.

Dalam pada itu, Lisdawati berkata jika berlaku salah faham dia memilih untuk berkomunikasi melalui mesej berbanding bersemuka kerana bimbang jika berlaku pertelingkahan serta bertikam lidah.

“Sejak dahulu kami memang tidak berbincang depan-depan jika berlaku salah faham. Apa sahaja masalah, kami berbincang melalui SMS (dahulu) dan sekarang melalui WhatsApp.

“Kami elak pertelingkahan lidah sebab takut akan bertindak di luar jangkaan. Sampai sekarang kami amalkan cara begitu. Selepas hati kami sejuk, barulah saya dan suami bersemuka untuk berbincang dan saling bermaaf-maafan,” katanya.