fbpx

“Bukan Saya Ambil Kerja Tuhan, Tapi Perintah Allah”

Susulan teguran secara terbuka, usahawan Kak KM membidas dengan Pencetus Ummah (PU) Syed apabila mengaitkan sentimen agama dengan perniagannya serta memberi amaran supaya jangan mengambil kerja Tuhan.

Tampil mengulas mengenai kenyataannya itu, PU Syed berkata teguran yang dilakukannya itu selari dengan perintah Allah agar manusia berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran.

BACA: “Bila Dia Sentap Dengan Teguran Ambe, Itu Tanda Masih Ada Iman”

“Banyak orang saya tegur, figure saya tegur, itulah ungkapan jangan ambil tugas Tuhan. Bukan saya ambil kerja Tuhan tapi perintah Tuhan, perintah Allah SWT.

“Tugas kita sebagai manusia ada dua iaitu mengajak berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini tugas kita semua, bukan tugas ustaz atau tok imam sahaja. Nabi ada ajar pada kita,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Kak KM mengatakan PU Syed mahu menumpang popularitinya, gila viral, pendakwah itu kembali bertanyakan semula adakah usahawan itu popular.

“Saya nak tanya betul ke dia popular, itu sahaja soalan saya atau pun dia kedepan dalam isu yang didedahkan itu sahaja, keaiban yang didedahkan kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, PU Syed berkata dia sedia untuk bersemuka dengan Kak KM jika itu yang diinginkan usahawan tersebut. Ujarnya lagi, dia tidak mengatakan perniagaan dijalankan oleh usahawan itu haram.

“Ramai netizen mempersetujui teguran kami ini, maksudnya netizen pun tahu ini perkara betul ini perkara salah. Jadi kalau Kak KM nak jumpa, saya boleh silakan. Kita boleh jumpa InsyaAllah.

“Saya tak kata perniagaan dia haram, cuma gaya iklan tidak dibenarkan syarak. Matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya.