Bukan Kegagalan Ekonomi Tapi Gagal Faham Apa Kerajaan Buat

Dakwaan kononnya Kerajaan Madani gagal mengurus ekonomi negara dengan baik adalah persepsi semata-mata, yang berpunca daripada kegagalan memahami apa yang kerajaan sedang dan hendak laksanakan.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia berlaku ekoran sikap masyarakat yang kurang membaca dan kelemahan penyebaran maklumat kepada rakyat.

Katanya, jika pihak berkenaan mengikuti pembentangan Belanjawan dan kenyataan daripada Perdana Menteri atau Menteri, segala polisi ekonomi sudah lama dirancang dan bukannya dibuat secara mengejut.

“Bukan kegagalan ekonomi tapi kegagalan memahami apa yang kerajaan nak buat. Masyarakat sekarang dia suka sesuatu yang segera sebab kita berada dalam era semua perkara mudah didapati di hujung jari

“Tetapi mengendalikan masalah negara yang telah lama berlaku dan sistemik iaitu berakar umbi, memang memerlukan masa dan mungkin melangkaui penggal kerajaan sekarang.

“Kerajaan selepas inipun akan menghadapi isu sama tapi yang penting perlu lihat dari segi penambahbaikan.

“Bila kita tengok jumlah miskin tegar dikurangkan, inflasi kekal rendah dan kadar pengangguran semakin turun, sedikit demi sedikit ekonomi akan berubah semakin baik,” katanya kepada Rotikaya.

Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmed Razman berkata, prestasi semasa ekonomi negara boleh dinilai berdasarkan pencapaian membanggakan dalam laporan terkini Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025.

Dalam laporan itu, Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 23 daripada 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 tahun lalu, katanya.

Beliau berkata, pada minggu lepas pula Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan statistik kadar pengangguran pada April yang turun kepada 3 peratus iaitu yang terendah dalam tempoh 10 tahun.

“Semua maklumat dah diberitahu tapi mungkin tidak sampai kepada rakyat kebanyakan. Penerangan perlu dibuat kerana ia amat penting,” tegasnya.

Berkenaan tanggapan kerajaan boros apabila perbelanjaan tetap meningkat walaupun subsidi dikurangkan, Dr. Ahmed Razman menjelaskan tiada salahnya jika kerajaan ‘boros’ menghuluran bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Katanya, dalam Belanjawan 2025 juga tiada projek mega dan hanya untuk menyiapkan projek-projek sedia ada selain meneruskan penambahbaikan infrastruktur.

“Mungkin kerajaan boros berbelanja beri duit kepada rakyat. Kalau kita lihat penyasaran subsidi diesel, penjimatan RM5 bilion akan diguna untuk STR dan SARA

“Sebanyak RM10 bilion diperuntukkan kepada STR untuk dua tahun lepas, tahun ini meningkat kepada RM13 bilion.

“Di situ mereka tak nampak, mungkin sebab mereka tak terima tetapi bagi B40 mereka akan nampak bantuan SARA dan STR secara berkala meningkat,” katanya.

Penjimatan daripada penyasaran subsidi dikembalikan kepada rakyat melalui STR dan SARA.

Berkenaan beban hutang negara khususnya pembayaran faedah pinjaman, Dr. Ahmed Razman menyatakan pada tahun ini desfisit fiskal sebenarnya kekal berkurangan.

Katanya, ia bermaksud kerajaan telah mengurangkan perbelanjaan dan juga meningkatkan pendapatan.

“Hutang sukar diberhentikan serta merta. Kalau kita lihat sejarah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan pada 90-an, kerajaan menikmati perbelanjaan lebihan buat kali terakhir.

“Saya nampak kita mula kembali ke arah itu (perbelanjaan lebihan). Yang ketara sekarang ialah defisit fiskal semakin berkurangan dan kerajaan telah letak sasaran defisit fiskal 3 peratus bagi jangka masa sederhana,” katanya.

×