Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro memberitahu dia menyerahkan gaji dan keuntungan kepada rakan baiknya, Ebby Yus sempena pembukaan cawangan kedua perniagaan makanan miliknya.
Memetik mStar Online, Ajak berkata dia menganggap Ebby seperti seorang bapa dan keputusan itu dibuat kerana mahu membantu meringankan beban pelawak itu serta menganggap ianya hadiah buat rakannya itu.
BACA: “Sekurangnya Ada Sinar Untuk Saya” – TV AlHijrah Tawar 2 Program Khas Buat Ebby Yus
“Dia seorang sahabat yang cukup dekat. Saya juga anggap dia seperti seorang bapa. Dia yang banyak membantu dan memberi nasihat ketika saya mula masuk dalam industri.
“Kita juga tahu Ebby kurang sihat, jadi dengan cara ini dapat membantu dia menampung kehidupan bulanan.
“Saya serahkan gaji saya di cawangan ini serta peratusan jualan seperti yang telah ditetapkan dalam kontrak. Kiranya cawangan ini adalah hadiah buat dia,” katanya.
Sementara itu, Ajak turut memberitahu Ebby juga sering berkongsi nasihat dalam perniagaan serta turut mengajar cara untuk melayan pelanggan.
“Masa saya nak buat perniagaan ini, dia banyak beri nasihat. Dia ajar saya cara untuk layan pelanggan. Antara nasihat yang diberikan ialah jangan kedekut jika ada pelanggan yang datang bersama keluarga.
“Dia juga sempat singgah di cawangan pertama sebelum ini. Walau dalam keadaan sakit, dia masih dapat luangkan masa,” katanya.
SUMBER: mStar Online