Pelakon terkenal Indonesia, Jefri Nichol berpendapat pendidikan seks perlu didedahkan kepada pelajar sejak peringkat awal persekolahan lagi.

Memetik Suara.com, Jefri berkata dia percaya bahawa pendedahan itu dapat membuka minda masyarakat serta mencegah penularan seks bebas dan penyebaran penyakit kelamin di kalangan penduduk di Indonesia.

BACA: Ameera Khan Tak Boleh Hidup Tanpa Jefri Nichol

“Bagi saya, pendidikan seks seharusnya dimulakan sejak usia muda kerana kanak-kanak kini sudah lebih faham tentang seks. 

“Bahkan ada yang berani mencuba tanpa menyedari bahayanya. Kebanyakan mereka juga terpengaruh dengan rakan sebaya dan apa yang mereka lihat,” katanya.

Sementara itu, Jefri berkata pengenalan alat pencegahan kehamilan juga amat penting bagi mengelakkan penyakit seksual serta pendidikan seks sudah tidak boleh dianggap sebagai tabu dalam masyarakat.

“Walaupun seks adalah perkara peribadi, ia tetap akan berlaku, jadi pendedahan yang sewajarnya harus diberikan. 

“Jangan takut atau malu untuk membeli alat pencegahan kehamilan kerana ini melibatkan kesihatan diri sendiri,” katanya.