fbpx

Pelakon senior Fazlina Ahmad Daud meluahkan rasa kesal apabila ada pihak produksi memintanya untuk membuka tudung meskipun tahu dia sudah berhijab sepenuhnya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Fazlina berkata dia juga turut hairan kerana perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku. 

“Bila tidak bertudung, mereka suruh pakai tudung. Bila dah bertudung mereka suruh membuka tudung pula. Apa punya industri,” tulisnya.

Sementara itu, Fazlina turut mendedahkan isu lain yang perlu dihadapinya antaranya kronisme selain pihak produksi mendiamkan diri walaupun telah bersetuju, tiada bajet dan pelbagai lagi karenah.

Bagaimanapun, Fazlina berkata dia reda seandainya tidak diberikan tawaran kerja serta percaya bahawa ada rezeki lain yang diberikan oleh Tuhan.

“Ya! Benda merepek aku kena hadap. Macam-macam peel (perangai) orang industri sekarang. Suruh buka tudung la, kroni la, dah setuju tapi senyap, tiada bajet la. Eh macam-macam la. Tiada tawaran kerja tiada masalah. Bumi Allah besar untuk aku cari rezeki lain,” tulisnya.

Perkongsian Fazlina itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk rakan-rakan artis yang turut bersetuju dengan kenyataan pelakon itu.