Gembira tidak terkira rakyat Malaysia apabila kerajaan mengumumkan yang kita semua boleh mula bergerak lebih bebas merentas negeri dan bercuti dalam negara bermula pada 10 Jun ini.
Kami yakin ramai antara anda sudah pun merancang untuk pulang ke kampung atau berkunjung ke destinasi percutian seluruh Malaysia menjelang hujung minggu ini — lagi pun raya ‘kan sebulan, kemeriahan itu masih boleh dirasa.
Selain melonggarkan kawalan pergerakan rakyat, kerajaan juga berbesar hati untuk melipatgandakan usaha pemulihan sektor pelancongan yang terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19 dengan memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM1 bilion dalam Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA.
BACA: “Bantu Ekonomi, Singgah Seberapa Banyak Gerai Yang Kita Mampu”
Ini termasuklah lanjutan sehingga 31 Disember untuk pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara.
Pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan untuk penyedia penginapan sehingga Jun 2021 juga dilihat sebagai satu usaha baik untuk merangsang sektor pelancongan negara selain menyelamatkan ribuan pekerja dari diberhentikan.
Mengulas mengenai langkah kerajaan itu, Timbalan Presiden Malaysia Budget Hotel Association (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata sektor perhotelan menerima impak yang hebat dan merekodkan sifar pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hampir 60 peratus ahli hotel kami menutup operasi kerana tiada hala tuju dan tidak dapat meramalkan masa depan sektor ini pada masa hadapan”
“Pengumuman kerajaan itu tepat pada masanya. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memahami dan memberikan banyak bantuan kepada pengusaha dan pekerja kepada kami sektor yang pertama terjejas dan yang terakhir dapat dipulihkan,” katanya. (rtky/m)