Kami tertarik dengan satu kenyataan pengguna Twitter hari ini yang menyarankan untuk orang ramai mula membantu ekonomi negara secepat mungkin lebih lebih lagi mereka yang sudah memulakan kembali perniagaan di luar premis rasmi atau tepi jalan.

Memang peniaga tepi jalan memerlukan sokongan kita untuk meningkatkan pendapatan sekaligus memberikan lonjakan kepada ekonomi setempat dan negara amnya.

Guna Khidmat Pekerja Ekonomi Gig

Selain dari singgah sendiri ke gerai-gerai atau kedai makan di seluruh negara, apa kata kita gunakan khidmat pekerja ekonomi gig yang tersedia untuk belikan apa sahaja yang anda inginkan dengan pantas.

Perkhidmatan seperti Foodpanda dan Grab pastinya memudahkan kerja anda untuk dapatkan makanan idaman selain menyokong usaha untuk memberikan lebih banyak pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutamanya belia yang terkesan dengan wabak COVID-19.

Kerajaan sudah pun umumkan yang mereka akan membantu para pekerja ekonomi gig menerusi Skim Bencana Pekerjaan PERKESO berjumlah sehingga RM162 dan skim i-Saraan KWSP sehingga RM250 setahun.

Gunakan e-Dompet Ketika Bayar

Ramai sebenarnya peniaga gerai dan kedai makan di luar sana yang sudah menggunakan aplikasi e-dompet sebagai salah satu cara untuk membayar secara tanpa sentuhan selain menyahut seruan kerajaan untuk beralih kepada digital.

Dengan suntikan RM50 dari kerajaan yang akan dimasukkan ke e-dompet rakyat kelak, gunakan dana itu sebaiknya untuk menyokong peniaga setempat.

Inilah masa kita untuk jaga sesama kita — jika bukan rakyat Malaysia sendiri yang menyokong ekonomi setempat, siapa lagi bukan? (rtky/m)