fbpx

Bella Dally Ditahan Rentas Negeri

Umum mengetahui Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Oktober ini. Bagaimanapun, semalam pelakon Bella Dally dilaporkan telah ditahan polis kerana dipercayai merentas negeri.

Memetik laporan Kosmo, Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally ditahan bagi membantu siasatan tindakannya mengayuh basikal ke Genting Sempah, Bentong di Pahang pada Ahad lalu.

BACA: Bella Dally Tak Bergantung Pada Suami

Difahamkan, Bella ditahan selepas pihak polis melihat satu perkongsian yang dimuat naik di Instagramnya yang memaparkan dia bersama rakannya sedang berbasikal.

Sumber berkata, Bella bersama rakannya bergerak dari kediaman masing-masing di Dutamas menghala ke sebuah restoran yang terletak berhampiran Hospital Orang Asli, Gombak.

“Mereka meletakkan kenderaan di sana sebelum berbasikal melalui Jalan Gombak Lama ke Genting Sempah. Kira-kira lebih 10 Kilometer mereka berbasikal sebelum patah balik ke kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan tangkapan pelakon tersebut bersama rakannya. Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai mengambil keterangan.

Terdahulu, gambar aktiviti berbasikal yang dikongsikan oleh Bella itu menerima kecaman daripada netizen yang tidak berpuas hati  kerana dikhuatiri membawa jangkitan Covid-19 di daerah dan negeri zon hijau.

Menerusi gambar berkenaan, Bella turut menyertakan kapsyen, “Wohoo Genting Sempah with @diyanaba- nana”. Bagaimanapun, foto tersebut sudah pun dipadamkan dari Instagramnya.