fbpx

Pelakon Bella Astillah berkata dia mahu lebih fokus kepada perkongsian kerjaya dan perkembangan anak-anak dan memilih untuk tidak lagi bercakap tentang hal rumah tangga di media sosial.

Memetik Kosmo, Bella berkata dia faham sudah pasti ramai yang sudah jemu dengan masalah rumah tangganya dengan bekas suami, Aliff Aziz.

BACA: Bella Astillah Ada Sebab Larang Keluarga Aliff Aziz Berhubung Dengan Anak-Anak

“Saya percaya orang sudah muak dengan kisah peribadi, jadi saya perlu letakkan noktah. Selepas ini saya akan lebih fokus kepada perkongsian positif iaitu tentang kerjaya dan anak-anak. Mohon maaf jika ada kekurangan dalam diri dan saya berusaha untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Bella berkata Aliff tiada menghubungi untuk bertanyakan soal anak-anak selepas bercerai dan kali terakhir Aliff bertemu dengan dua anak mereka sebelum perbicaraan cerai di mahkamah.

Dalam pada itu, Bella meluahkan rasa lega kerana sudah membuat penjelasan tentang dakwaan yang dilemparkan pihak bekas suaminya dan dia turut meminta pandangan daripada orang tuanya.

“Saya tidak tahu sama ada pihak sana (Aliff dan keluarga) ingin membuat kenyataan balas, tetapi saya rasa lega kerana sudah menjelaskan semua.

“Sejujurnya bukan mudah untuk mengatakan tentang perkara itu kerana saya sendiri pun meminta pandangan keluarga terutama orang tua. Mereka faham dan mengatakan kalau saya simpan lama-lama (pendam perasaan), perkara itu akan menjadi stres, jadi sebab itu saya kongsikan,” katanya.

SUMBER: Kosmo