Semalam, usahawan kosmetik Datuk Seri Vida mengumumkan pembantu peribadinya yang baru bernama Qush yang juga merupakan seorang influencer.
Jejaka berusia 26 tahun itu berkata gaji yang ditawarkan RM10,000 sebulan itu bukan pendorong untuk berkhidmat sebagai PA Vida namun dia mahu menimba lebih banyak pengalaman.
BACA: DSV Pilih Influencer Kacak Jadi PA, Bayar Gaji RM10,000 Sebulan
Qush atau nama sebenarnya Syed Qusyairi Syed Mahmud Iskandar berkata dia sudah pun memiliki perniagaan senditi dan mempunyai pendapatan kukuh.
“Soal bayaran gaji itu saya letak di perkara ketiga atau keempat. Ia bukan sebab utama saya terima jawatan ini.
“Bekerja dengan DSV bukan sekadar wang ringgit, ia lebih kepada pengalaman yang mahu saya peroleh dan belajar. Saya juga ada perniagaan sendiri dan Alhamdulilah punya pendapatan yang kukuh,” katanya.
Kata jejaka itu lagi dia tertarik untuk menerima tawaran Vida kerana keperibadian wanita itu yang terbuka menerima pendapat orang muda untuk hasil yang lebih baik.
“Saya melihat DSV seorang yang baik dengan pekerjanya. Beliau juga sering melakukan amal dengan menghulurkan bantuan kepada anak-anak tahfiz. Itu membuat saya tertarik untuk terima tawaran ini.
“Kita semua tahu beliau seorang yang sangat spontan termasuk ketika mencipta kandungan di media sosial. Walaupun sudah berpengalaman, beliau sedia dan terbuka menerima idea-idea baru,” katanya.
Dalam pada itu, jejaka berasal dari Kuala Lumpur itu berkata dia akan cuba sebaik mungkin bersikap profesional serta tidak mencamprkan urusan peribadi.
“Saya tahu mungkin orang akan kaitkan dengan cerita-cerita peribadi apabila saya rapat dengan DSV. Sebagai pembantu peribadi beliau, saya amalkan sikap profesional.
“Lama-lama nanti orang akan nampak hasil kerja kami bersama dan berhenti bercakap perkara tidak benar,” katanya.