Bekas suami penyanyi yang juga ahli perniahaan dihukum penjara tiga bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kajang hari ini selepas didapati bersalah memukul isterinya.
Memetik Harian Metro, Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Reduan Mahamood, 58, yang mengaku bersalah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan tambahan hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Nik Siti Norazlini dalam hujahnya turut menasihati tertuduh dan mengharapkan hukuman itu dapat memberi pengajaran kepadanya.
“Seorang isteri adalah pendamping bukannya ‘punching bag’. Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Jangan buat lagi pada anak, isteri dan kepada sesiapa sekali pun,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya Adriana Mohd Arif, 45, dengan memukul serta menendang mangsa.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam tertuduh Mohd Syafiq memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap Reduan dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Tertuduh yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi adalah penyara utama keluarga.
Bagaimanapun, pendakwa raya memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran supaya tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.
Minggu lalu, tular video di media sosial bekas suami penyanyi dangdut yang memukul isterinya. Dalam video tersebut, tertuduh menarik isteirnya sebelum mangsa di heret dan di tendang berkali-kali di muka serta badan.