fbpx

Baru 19 Tahun, Masya Masyitah Beli Rumah Bayar Cash RM300,000

Siapa sangka baru sahaja berusia 19 tahun, penyanyi Masya Masyitah yang juga merupakan  juara program realiti, Ceria Popstar pada 2014 berjaya membeli rumahnya sendiri secara tunai tanpa mengambil pinjaman bank.

Menurut gadis berasal dari Kulim itu, rumah jenis kondominium berharga RM300,000 tersebut dibeli pada tahun lalu menggunakan wang simpanan yang dikumpul sejak kecil lagi hasil daripada kemenangan pertandingan nyanyian.

“Saya tak suka nak berhutang sebab nanti kena bayar ‘bunga’. Jadi saya pilih untuk beli secara tunai sahaja rumah tersebut.

“Itu merupakan duit yang saya kumpul sejak kecil lagi. Bila menang, dapat duit saya akan simpan di ASB (Amanah Saham Bumiputera). Jadi di situ dapatlah dividen setiap tahun,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Masya berkongsikan kebiasaannya wang kemenangan yang diperoleh sekitar lingkungan RM5,000 bagi satu-satu pertandingan. Namun, bagi wang kemenangan pertandingan di televisyen mencecah RM20,000.

Ujar Masya lagi, dia kini berjaya memiliki rumah dan kenderaan sendiri hasil wang daripada penglibatannya dalam dunia nyanyian selama ini.

“Cuma, masa beli kereta, ibu saya nasihat untuk tidak bayar secara tunai. Kalau ikutkan saya menang nak bayar tunai sahaja. Katanya, bimbang kalau saya nanti mungkin nak tukar kereta kemudian hari,” jelasnya.