fbpx

Balik Dari Tunai Umrah, Daiyan Trisha Suka Baca Terjemahan Al-Quran

Mengerjakan ibadah Umrah pada April lalu, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha merasakan ianya kenangan terbaik sepanjang hidupnya.

Memetik Getaran, Daiyan berkata selepas pulang dari menunaikan ibadah tersebut dia mula rajain memahami Al-Quran dengan membaca terjemahannya.

BACA: Hilang Rasa Nak Melancong, Daiyan Trisha Tunai Umrah

“Saya sebenarnya segan untuk cakap. Macam tiba-tiba pula saya kongsikan perkara ini. Tapi selepas pulang dari Makkah, saya suka membaca terjemahan al-Quran. Berada di sana adalah perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya,” katanya.

Menurut Daiyan lagi, dia menyifatkan Tanah Suci adalah tempat paling indah pernah dilawatinya serta meluahkan rasa rindu dengan Mekah biarpun baru saja dua bulan lalu ke sana.

“Ada banyak perkara yang menginspirasikan saya. Sekarang, jika ada sesuatu ujian atau perkara yang membuat saya terluka, saya akan ingat kembali bagaimana perasaan saya ketika di Makkah. Perasaan itu tidak dapat saya jelaskan bagaimana, apa yang boleh saya katakan ia memang hadiah dari alam yang lain.

“Perasaan itulah yang mengubah saya dan membuatkan saya meletakkan Allah sebagai keutamaan saya. Apa-apa yang ingin saya lakukan, saya hanya akan ingat kepada-Nya sahaja selepas ini,” katanya.