fbpx

Bajet 2022 Ada Faktor Wow, Geng Peniaga Antara Yang Senyum Lebar!

Bajet 2022 yang dirangka kali ini dikatakan memberi manfaat kepada semua pihak termasuklah perniagaan. Kena sangat dengan konsep Keluarga Malaysia yang pastinya menjamin tiada seorang pun tercicir.

Faham dengan keadaan sekarang ni, ramai yang mengalami kesukaran hidup akibat pandemik COVID-19, jadi sokongan untuk perniagaan disediakan bagi memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), penjaja, peniaga kecil serta pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) mendapat habuan dalam Bajet 2022.

Ada Sinar Di Hujung Terowong

Sejak kerajaan membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi merentas negeri bermula 11 Oktober lalu, ekonomi negara dan rakyat nampaknya mula bernafas seperti ada sinar di hujung terowong.

Anda dah tahu ke dalam Fokus Kedua: Perniagaan Yang Berdaya Tahan ini terdapat tiga strategi bagi membantu kelompok ini.

Strategi 1: Mengembali Keupayaan Perniagaan
Strategi 2: Memacu Pelaburan Strategik
Strategi 3: Memulih Sektor-Sektor Tumpuan

Kesemua strategi ini memberikan manfaat terbaik untuk peniaga semua. Jom kita usha sikit apa yang diberikan pada golongan ini.

Peruntukan Dana BNM Untuk PKS Meningkat

Peruntukan Dana Bank Negara Malaysia (BNM) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dinaikkan kepada RM4.5 bilion dalam Bajet 2022.

Kredit: Bernama

Jadi, pelbagai penambah baikan disediakan dalam dana PKS bagi menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bukan itu jer, RM2 bilion juga akan ditambah kepada Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar menjadikan jumlah peruntukan kepada RM8 bilion manakala Kemudahan Agromakanan akan dinaikkan sebanyak RM500 juta, jumlah keseluruhan peruntukan dinaikkan kepada RM2 bilion.

Ringan Beban Peniaga Kecil, Penjaja

Peruntukan bajet khusus buat para peniaga kecil dan penjaja juga tidak ketinggalan tau. Antaranya pinjaman mudah tanpa faedah yang diumumkan bagi meringankan sedikit bebanan terutama golongan B40, peniaga kecil dan penjaja.

Selain itu, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah Tekun Nasional (Tekun) turut menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah 0 peratus serta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan kepada peniaga sektor informal dan mikro.

Inisiatif ini juga membabitkan pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion yang akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti Tekun, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.

3 Inisiatif Utama Bantuan Kewangan & Pembiayaan

Bukan itu sahaja, ada 3 inisiatif utama yang membantu kewangan dan juga pembiayaan untuk para peniaga ini iaitu SemarakNiaga – Mikrokredit, Pembiayaan kredit mikro tanpa faedah untuk 6 bulan pertama, serta kemudahan moratorium, akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, Agrobank dan BSN, kepada para peniaga mikro.

Jaminan Pembiayaan Perniagaan

Terdapat Penambahbaikan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan bagi meningkatkan had jaminan pembiayaan perniagaan sehingga RM10 bilion sebagai tambahan kepada RM20 bilion yang telah diumumkan di bawah pakej PEMULIH.

Kemudahan pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula sehingga 80% untuk tempoh 36 bulan sehingga maksimum RM20 juta termasuk ketika tempoh pemberian 12 bulan moratorium bayaran balik.

Jaminan RM2 bilion daripada tambahan RM10 bilion had baharu ini dikhususkan kepada peminjam Bumiputera.

Kemudahan Menjalankan Perniagaan

Bagi peniaga, terdapat kemudahan untuk anda semasa menjalankan perniagaan. Antaranya lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian sehingga RM300,000 bagi menyokong pematuhan SOP seperti menambahbaik pengudaraan.

Potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja selain layanan cukai yang pasti membuatkan anda menarik nafas lega.

Penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan, kebenaran pindaan anggaran cukai, potongan cukai khas atas pengurangan sewa dan kerugian terkumpul dibawa kehadapan, adalah antara manfaat yang akan anda dapat dalam Bajet 2022 ini.

Lebih Banyak Manfaat!

Banyak lagi manfaat yang anda boleh dapat selepas Bajet 2022 dibentangkan. Anda boleh semak bantuan-bantuan serta manfaat berkaitan di LINK INI.

Insya-Allah pembentangan bajet kali ini dapat memberikan bantuan taraf hidup yang lebih kepada anda berbanding pada tahun tahun sebelum ini.

Inilah harapan untuk anda bangkit semula daripada segala keperitan, kepedihan, kesusahan dan kesukaran hidup akibat Covid-19.