Suaminya Bad Indigo jatuh sakit selepas berkahwin sehingga lima jari kaki terpaksa dipotong, namun ia tidak menjejaskan kasih sayang penyanyi Ashira untuk terus setia disisi.
Menurut Ashira, dia menerima keadaan itu serta menganggap apa yang mereka lalui itu adalah ujian dalam rumah tangga. Sentiasa berfikiran positif, Ashira berkata dia banyak berdoa agar diberikan kekuatan untuk menempuh dugaan yang mendatang.
BACA: “Segan Nak Ambil Bantuan Zakat, Ada Orang Lain Lebih Memerlukan” – Bad Indigo
“Tak tahu nak kata apa, ini adalah ujian selepas berumah tangga dengan dia tiba-tiba jatuh sakit. Semasa Covid-19 ni besar dugaan saya hadapi. Saya dan ahli keluarga positif Covid-19, kemudian saya kehilangan mak tiri disebabkan virus itu juga,” katanya.
Dalam pada itu, Ashira berkata dia melakukan kerja sambilan di sebuah restoran dengan mencuci pinggan pada setiap hujung minggu serta membuat reviu berbayar di Instagram untuk menambah pendapatan sampingan.
“Saya tak ada kerja semenjak habis Gegar Vaganza dan PKP sampai sekarang memang tak ada kerja nak buat, saya just buat review la sedikit sebanyak dapat membantu.
“Say masih menanti kalau ada panggilan untuk menyanyi tapi masih belum ada rezeki, weekend saya kerja kedai makan dekat Puchong basuh pinggan, ambil order dan hantar order.
“Nak cakap struggle tu tak, Alhamdulillah cukup makan, ada tempat tinggal. Selain itu ada beberapa insan dan kawan-kawan yang tolong,” katanya.
Terdahulu, Bada berdepan kesukaran apabila lima jari kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit diabetes. Bad berkata dia terpaksa berjalan menggunakan walker untuk membantunya bergerak.