fbpx

Azrinaz Mazhar Hakim Kahwin Pilihan Hati

Tahniah diucapkan buat bekas pembaca berita, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar yang sudah mendirikan rumahtangga bersama pilihan hati. Perkara tersebut dikongsikannya di Instagram. Bekas isteri Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ini selamat bernikah dengan teman lamanya, Fairos Khan Abdul Hamid.

BACA: Azrinaz Mazhar Hakim Mula Bertudung Selepas Putus Cinta?

Pasangan itu melangsungkan pernikahan dalam majlis yang diadakan secara tertutup di kediaman Azrinaz di Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu. Suami Azrinaz iaitu Fairos juga merupakan teman lama yang sudah dikenali sejak 20 tahun lalu tetapi kembali menjalin hubungan setahun lalu.

“Dengan pernikahan ini, saya berharap semua pihak berilah ruang untuk memahami naluri saya yang juga manusia biasa mempunyai kehendak dan perasaan. Izinkan saya untuk hidup berpasangan seperti kalian semua lengkap melengkapi meniti hari tua,” kongsinya.

Selain itu dia turut memohon maaf kerana tidak berkongsikan berita tentang perkahwinannya itu terlebih dahulu selain turut menjelaskan bahawa dia mahukan privasi di dalam melayari bahtera rumah tangga.

Sebelum ini, Azrinaz dan Sultan Brunei berkahwin pada 2005 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 12, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 10. (rtky/s)