fbpx

Azira Shafinaz Belajar Hukum Bacaan Al-Quran Untuk Jiwai Watak

Namanya semakin menyinar dalam dunia lakonan, pelakon dan penyanyi serta ahli kumpulan De Fam, Azira Shafinaz mengakui watak yang dipegang menerusi telefilem Penunggang Agama sangat mencabar.

Memegang watak sebagai seorang wanita yang kuat pegangan agama dan melibatkan babak membaca dan mengajar kanak-kanak membaca Al-Quran, Azira berkata dia perlu belajar hukum bacaan Al-Quran untuk menjiwai watak.

BACA: Azira Shafinaz Nafi Khabar Angin Sudah Berkahwin

“Bagi saya, watak dalam telefilem ini sangat mencabar kerana saya perlu betul-betul belajar mengenai karakter seorang wanita yang kuat agama.

“Terdapat babak di mana saya perlu mengajar budak-budak membaca Al-Quran, jadi, saya perlu tahu membaca Al-Quran dengan bacaan yang betul. Ia memang mencabar, apa yang pasti, jalan ceritanya sangat menarik, jelas dan mudah difahami,” katanya.

Dalam pada itu, Azira berkata dia telah menghafal beberapa surah dan mengakui banyak bertanya mengenai hukum bacaan yang betul daripada mereka yang lebih mahir.

“Saya diberi beberapa surah untuk dihafal sendiri, dalam proses menghafal itu, saya banyak bertanya kepada yang mahir membaca Al-Quran kerana saya bukanlah hebat mengetahui hukum-hukum tajwid dan sebagainya.

“Di set penggambaran kami memang ada yang tahu hukum bacaan Al-Quran, jadi saya banyak merujuk kepadanya,” katanya.

Penunggang Agama, Azira memegang watak sebagai Anna yang berdepan dugaan getir apabila ada anggota keluarganya mengalami gangguan makhlus halus. Telefilem itu turut menampilkan Zul Ariffin, Nasir Bilal Khan dan Johan Asari.