Kini bergelar ibu dan seorang isteri, pelakon dan penyanyi Ayda Jebat berkata dia sudah tidak mahu lagi melakonkan aksi mesra serta bersentuhan dengan pelakon lelaki.
Memetik Harian Metro, Ayda berkata tiada keperluan untuk melakukan aksi tersebut. Ujarnya lagi, tidak semestinya perlu ada babak mesra untuk memberi impak kepada sesebuah drama atau filem.
BACA: Ayda Jebat Tolak Lakon Babak Mesra, Bersentuhan Dengan Pelakon Lelaki
“Kadang-kadang bila tengok cerita membabitkan pelakon yang sudah berkahwin dan buat aksi-aksi tak sepatutnya ataupun melampau, terfikir juga bagaimana agaknya penerimaan pasangannya?
“Memanglah saya seorang pelakon, tapi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu itu perlahan-lahan sudah dipegang. Saya sudah tidak perlu cerita cinta yang kena bertepuk tampar atau berpegangan tangan dengan lelaki.
“Era itu sudah berlalu dan saya kena didik peminat dan penonton di mana kita tidak perlukan filem sebegitu. Banyak saja filem atau drama seperti dari Korea Selatan yang tak perlu babak bersentuhan tapi masih buat kita senyum dan berbunga-bunga,” katanya.
Dalam pada itu, Ayda berpendapat babak mesra yang yang ditonton juga satu penderaan mental buat peminat. Kata Ayda lagi, dirinya kini bukan hanya membawa namanya sahaja tetapi nama suami serta keluarga.
“Bila mereka menontonnya, mereka tak rasa apa-apa? Tak rasa bersalah bila tengok idola atau artis kesayangan mereka buat aksi sebegitu?”
“Sekarang ini saya bukan bawa nama Ayda Jebat saja tapi saya juga bawa nama suami dan nama keluarga. Jadi, malulah. Mungkin dulu saya pun tak bagus, tapi selepas ini saya sudah tak nak,” katanya.