Stesen penyiaran Awesome Broadcasting Sdn Bhd atau Awesome TV memfailkan saman terhadap tiga selebriti susulan kenyataan berunsur fitnah sehingga menjejaskan imej dan reputasi mereka.
Dalam satu kenyataan pihak Awesome TV bakal mengambil tindakan saman terhadap Amir Raja Lawak, Mamak Puteh dan Abu Mamu.
BACA: Bapa Hidap Kanser Usus, Amir Raja Lawak Minta Stesen TV Segera Bayar RM18K
Menurut Awesome TV, tindakan itu diambil susulan penyebaran dakwaan tidak berasas menuduh pihak stesen gagal melunaskan bayaran penglibatan mereka dalam program yang disiarkan.

Pihak Awesome TV turut menjelaskan semua program yang disiarkan diterbitkan oleh syarikat luar dan urusan kontrak serta pembayaran merupakan tanggungjawab pihak produksi.
“Pihak Awesome TV ingin menjelaskan bahawa semua program yang disiarkan di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.
“Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu terbabit sudah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV,” tulis kenyataan itu.
Awesome TV juga terkejut isu itu turut dibawa ke Parlimen oleh Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera) tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang teliti sekali gus mengundang salah faham.
“Sebagai ahli parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.
“Justeru itu, pihak Awesome TV sudah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap mereka bagi melindungi integriti Awesome TV.
“Awesome TV memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik Awesome TV,” tambah kenyataan itu.
Sumber: Sinar Harian