fbpx

APEC 2020: Visi Putrajaya 2040 Wujud Komuniti Dinamik

KUALA LUMPUR: Bukan hanya satu tapi pelbagai kejayaan dilakarkan Malaysia selaku tuan rumah kepada persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 sebelum menurunkan tirai acara itu, pada 20 November 2020.

Sekali lagi membuktikan kemampuannya, kejayaan Malaysia menganjurkan APEC 2020 buat julung kalinya secara maya memberi kredit tambahan kerana bersedia mengambil langkah proaktif dalam memerangi penularan COVID-19.

Pun begitu, kejayaan ditempah Malaysia tidak terhenti di situ apabila pengisytiharan Visi Putrajaya 2040, bakal menggantikan Matlamat Bogor yang berakhir tahun ini mendapat kata sepakat pemimpin ekonomi APEC.

Visi Putrajaya 2040 bermatlamat mewujudkan komuniti Asia Pasifik yang aman, terbuka, dinamik dan berdaya tahan menjelang 2040, demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan semua ekonomi.

Menerusi visi itu, anggota akan memastikan Asia Pasifik terus menjadi rantau ekonomi dinamik dan terkemuka dalam segmen perdagangan dan pelaburan.

Visi Putrajaya 2040 membolehkan negara rantau Asia Pasifik membuat perancangan dan persediaan rapi bagi berdepan dengan krisis di samping memberi keutamaan kepada pemerkasaan bidang inovasi dan pendigitalan.

Visi itu juga selari dengan agenda kemakmuran bersama diketengahkan APEC 2020 sejajar usaha negara bagi penjajaran semula pembangunan ekonomi dan kemakmuran setiap lapisan masyarakat.

Selain itu, visi itu juga dilancarkan secara maya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC yang lalu.

Deklarasi Kuala Lumpur 2020 pula, yang dipersetujui semua pemimpin ekonomi APEC, menekankan usaha memerangi penularan COVID-19, selain merencana strategi pengukuhan empat aspek pertumbuhan negara.

Mendapat kesepakatan 21 negara anggota, deklarasi itu antara lain mengetengahkan tekad setiap pemimpin terbabit untuk memulih Asia Pasifik daripada krisis kesihatan awam yang menggugat pertumbuhan ekonomi serantau.

Sehubungan itu, kerjasama negara anggota akan tertumpu kepada kepentingan merangka dasar bersama demi kelestarian dan melonjak taraf kehidupan rakyat menerusi beberapa mekanisme tertentu.

Ia menetapkan tiga pemacu ekonomi utama untuk mencapai aspirasi berkenaan iaitu perdagangan dan pelaburan; inovasi dan pendigitalan; serta pertumbuhan yang padu, seimbang, terjamin, mampan dan inklusif.

APEC 2020 berjaya mendapatkan komitmen negara anggota untuk bekerjasama dalam beberapa agenda penting.

Malaysia menjadi tuan rumah buat kali kedua penganjuran APEC selepas 1998 dan bagi tahun ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertindak sebagai Sekretariat Kebangsaan APEC 2020.

Pada 2018, para pemimpin terbabit tidak dapat mencapai persetujuan berhubung Deklarasi Pemimpin manakala pada 2019, Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC dibatalkan berikutan keadaan domestik Chile ketika itu.

Dalam acara menutup tirai APEC 2020, Muhyiddin menyempurnakan majlis penyerahan hak penganjuran kepada New Zealand sebagai tuan rumah APEC 2021 kepada Perdana Menterinya, Jacinda Ardern dan disusuli dengan ucapan ringkas serta video pendek berkaitan negara itu.