Polis menerima 12 laporan berhubung kes buli di sebuah sekolah berasrama, di sini, yang turut membabitkan anak kepada penyanyi kumpulan Spider, Tam dan pelakon, Khir Rahman.

Memetik Harian Metro, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata sebahagian laporan dibuat oleh pelajar yang menjadi mangsa buli dan sebahagiannya adalah daripada ibu bapa kepada mangsa lain.

Siasatan awal mendapati kesemua mangsa terdiri daripada pelajar berusia antara 14 hingga 16 tahun dan pembuli terdiri daripada pelajar berusia 17 tahun.

Katanya, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Dua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan ia dikembalikan semula untuk dikemas kini.

“Manakala satu lagi kertas siasatan belum lengkap dalam proses siasatan kerana pelajar terbabit sedang menjalani ujian percubaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Pihak sekolah minta tangguh proses siasatan dan kita pun tak nak mengganggu (peperiksaan) mereka,” katanya.

Selain itu, polis telah merekod keterangan seorang warden asrama sekolah terbabit disyaki terlibat dalam kes berkenaan. Pihak polis akan mengambil keterangan enam pelajar yang didakwa membuli mangsa pada 13 dan 14 Oktober ini

Terdahulu, Tam mendakwa anak lelakinya berusia 14 tahun menjadi mangsa buli. Selain Tam, Khir Rahman turut tampil menedahkan perkara sama dan mendesak pihak sekolah mengambil tindakan terhadap enam pembuli.

SUMBER: Harian Metro

×