fbpx

Anak Pengasas Dnars Ugut Mahu Bunuh Bapa Tiri?

Anak lelaki pengasas kosmetik Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengugut mahu menyebabkan kematian terhadap bapa tirinya melalui pesanan ringkas aplikasi WhatsApp.

Memetik laporan Harian Metro, Mohamed Akhbar Hakim Jasman, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Mageswari di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Tertuduh didakwa menghantar kiriman WhatsApp berbaur ugutan berbunyi “Papa igt deh kalau adik ore mati, ore g pancung belako” terhadap Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 43.

Kesalahan itu dilakukan di pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur pada 8.45 malam, 15 Jun lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa raya, Muhammad Aiman Azahan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muhammmad Nor Izzat Nordin memohon jaminan antara RM2,000 hingga RM3,000 memandangkan ia sudah memadai bagi memastikan anak guamnya hadir di mahkamah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga selesai kes berkenaan.
Mahkamah turut menetapkan 7 Ogos depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.