fbpx

Amylea Kini Isteri Anggota Bomba Singapura

Penyanyi Amylea Azizan sah bergelar isteri kepada pegawai bomba dari Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad, namun tidak didedahkan tarikh pernikahannya.

Menerusi satu kenyataan media, Amylea dan Aqbar disatukan dalam majlis akad nikah di rumah keluarga Amylea di Sungai Petani, Kedah.

BACA: Terasa Diri Hodoh, Amylea AF Hampir Bunuh Diri?

Dalam majlis secara tertutup, Amylea menerima mas kahwin senaskhah al-Quran, telekung dan hantaran bernilai RM8,888. Majlis resepsi pasangan itu bakal berlangsung pada 27 Januari tahun depan.

Dalam pada itu, Amylea meluahkan rasa syukur kini bergelar isteri dan tidak sangka perkenalan dalam tempoh singkat membawa ke jenjang pelamin.

“Sebenarnya, saya belum bersedia mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

“Perkenalan saya dengan suami bermula dalam media sosial sejak beberapa bulan lalu. Bila selesa berkawan, suami terus melamar saya.

“Suami buat keputusan selepas mendapat petanda baik daripada solat istikharah dan terus berjumpa keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, Amylea dan suaminya terpaksa melalui kehidupan jarak jauh kerana tugas Aqbar sebagai pegawai bomba di Singapura.

“Amylea faham situasi ini dan kami sedang mencari jalan bagaimana boleh hidup sebumbung seperti pasangan lain.

“Perkara ini berlaku terlalu pantas. Saya juga tidak sangka perkenalan singkat diakhiri dengan penyatuan cinta yang indah,” katanya.