fbpx

Amelia Henderson Warna Rambut Merah Sebab Kecewa Putus Cinta?

Baru-baru ini, perkongsian pelakon Amelia Henderson menjadi perhatian apabila memuat naik gambarnya tampil dengan rambut warna merah.

Penampilan Amelia itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang memuji kecantikan pelakon itu yang tampil berani memilih warna merah terang.

BACA: “Hidung Saya Original Okay, Kalau Buat Nak Lagi Mancung” – Amelia Henderson

Malah, ada netizen mendakwa perubahan Amelia itu adalah disebabkan patah hati selepas dikhabarkan sudah putus dengan pelakon Aedy Ashraf.

Bagaimanapun, Amelia menafikan dakwaan tersebut serta mengatakan dia mengubah rambutnya menjadi warna merah selepas melihat dirinya menarik menggunakan ‘filter’.

“Ramai yang tanya mengapa saya mewarnakan rambut menjadi merah. Ada banyak artikel diterbitkan memberi jawapan merepek.

“Jawapan sebenar untuk tindakan saya ini ialah kerana perasaan ingin mencuba selepas melihat rambut kelihatan menarik apabila mengenakan filter dalam media sosial,” katanya.

Menerusi satu video dikongsikan di TikTok, Amelia berkata dia berbuat demikian kerana buat masa ini tiada penggambaran sedang dilakukannya.

“Saya cuma nak mencuba memandangkan sekarang ini tidak menjalani sebarang penggambaran drama. Jadi, inilah peluang untuk saya warnakan rambut merah yang agak gila sedikit. Selain itu, saya juga tak pernah warnakan rambut begini selain dengan tona coklat dan highlight.

“Inilah jawapan sebenar untuk sesiapa yang keliru dan fikir ada sebab mendalam. Konklusinya, saya tukar warna rambut kerana filter bukan sebab alasan merepek lain yang tiada kena mengena,” katanya.

Terdahulu, hangat diperkatakan apabila hubungannya dengan Aedy Ashraf dikatakan sudah berakhir selepas kedua mereka memuat naik perkongsian sedih di laman Twitter.