fbpx

Alami Nasib Sama, Liza Hanim Boleh Bersabar Isu Hadiah

Baru-baru ini, penyanyi Aishah membuat pendedahan mengenai isu kelewatan hadiah tanah lot banglo. Mana tidaknya, sudah hampir setahun, janji hanya tinggal janji. Beberapa hari kemudian, Lan Solo pula membuat kenyataan mengenai rasa kecewanya di atas kelewatan tersebut.

Namun berbeza dengan pemenang naib juara Gegar Vaganza musim keempat, penyanyi Liza Hanim yang lebih selesa untuk tidak persebarkan isu tuntutan hadiah tersebut kerana dia percaya ianya dapat diselesaikan secara baik.

BACA: “Dekat Setahun Tunggu Hadiah Tanah Banglo DSV”

“Saya lebih selesa untuk tidak memperbesarkan isu ini kerana percaya ia mampu diselesaikan dengan baik. Sejujurnya saya beruntung kerana berada di bawah pengurusan yang sentiasa membantu termasuklah menguruskan hal ini dengan penaja.

“Apabila isu ini viral, mereka (penaja) ada hubungi dan beritahu masalah yang dihadapi, jadi kita tunggu sahajalah,” katanya kepada mStar Online.

Liza memaklumkan ketiga-tiga pemenang akan bertemu dengan pihak penaja tanah lot tersebut tidak lama lagi bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Dalam pada itu, Liza memberitahu sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, dia tidak pernah lagi berdepan penipuan membabitkan hadiah.

“21 tahun jadi artis tak pernah lagi tak dapat hadiah yang dijanjikan, ini kali pertama hadiah diterima lambat sikit. Saya percaya kalau itu hak kita, rezeki kita, kita akan dapat juga,” ujarnya lagi.