Ajak Jiran Sertai Senamrobik Percuma! Siap Dapat RM10,000!

Ada tak sesiapa yang masih berfikir, “Senamrobik ni cuma untuk orang dewasa yang dah pencen je?” Nah, boleh buang jauh-jauh pemikiran macam tu!

Sukan sebenarnya untuk semua. Terutama bila kita bercakap pasal Senamrobik Komuniti, satu inisiatif hebat dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggalakkan masyarakat Malaysia, khasnya kaum ibu dan warga emas, untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Tahukah anda? Projek Perumahan Awam (PPR) Seri Sabah, Bandar Tun Razak dan PPR Sungai Bunos (Blok G & H), Setiawangsa, telah berjaya mencatatkan purata kehadiran senamrobik antara 25 hingga 30 orang setiap minggu! Itulah contoh semangat dan konsistensi yang patut kita contohi.

Sebagai penghargaan, kedua-dua PPR ini mendapat insentif RM10,000 setiap satu! Bayangkan, bukan sahaja sihat, malah ada rezeki tambahan!

Sejak Mac 2024, KBS Malaysia telah melancarkan program Senamrobik Komuniti percuma di 43 Projek Perumahan Awam (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di sekitar Kuala Lumpur. Menariknya, program ini percuma sepanjang tahun dan yuran jurulatih ditanggung sepenuhnya oleh KBS. Jadi, tiada alasan untuk tak turun bersenam kan?

Apa yang menarik tentang program ini? Ia bukan sekadar senamrobik, tetapi lebih kepada pembudayaan sukan dalam kalangan komuniti. Dari kaum ibu hingga warga emas, semua boleh bersenam bersama-sama, menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aktif dan sihat!

Menurut Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, tujuan utama program ini adalah untuk menambah akses rakyat kepada aktiviti sukan tanpa perlu risau tentang kos. Dengan adanya jurulatih dan tempat yang selesa, warga Kuala Lumpur kini lebih mudah untuk keluar rumah dan bergerak aktif.

“Kita mahu semua orang, terutamanya kaum ibu dan warga emas, untuk lebih mudah menikmati manfaat sukan tanpa perlu mengeluarkan wang,” jelas Hannah Yeoh.

Kalau anda belum cuba program senamrobik komuniti ni, apa tunggu lagi? Ajak jiran, kawan, atau keluarga untuk sama-sama turun beriadah. Aktiviti sihat ni bukan saja dapat buat kita lebih cergas, tetapi boleh juga jadi peluang untuk kenal orang baru dan jadi lebih rapat dengan komuniti sekitar.

Nak tahu lebih lanjut? Jangan lupa tengok jadual senamrobik di kawasan perumahan masing-masing. Mana tahu, boleh jadi permulaan gaya hidup sihat yang baru untuk anda!