Ahli Keluarga Ira Kazar Terima Notis Peguam

Pelakon dan usahawan, Puteri Sarah Liyana mendakwa salah seorang ahli keluarga Ira Kazar memberi kenyataan berkaitan dengan dirinya menerusi media sosial, baru-baru ini.

Memetik BH Online, peguam Puteri Sarah telah meneliti kenyataan yang dikeluarkan dan mendapati ianya melanggar perintah injuksi interim yang diserahkan kepada pihak defendan pada 28 Jun lalu.

BACA: “Bukan Masalah Besar Sangat Runtuhkan Rumah Tangga Orang…”

“Ada ahli keluarga pihak defendan melanggar perintah injuksi. Jadi, kes ini diserahkan kepada peguam. Sepatutnya, pihak defendan tidak boleh mengeluarkan kenyataan atau menyebut nama saya dalam media sosial. Itu tidak sepatutnya berlaku.

“Disebabkan itu, peguam sudah dapat mengesan individu di kalangan ahli keluarga defendan membuat kenyataan membabitkan nama saya dalam media sosial,” katanya.

Sementara itu, Puteri Sarah berkata dia tidak mengambil tahu tentang perkara itu namun dimaklumkan oleh netizen dan menyerahkan hal berkenaan kepada peguamnya.

“Saya dapat tahu perkara ini selepas diberitahu netizen. Jika ikutkan, saya tak ambil tahu sebab terlalu sibuk dengan kerja.

“Namun, netizen maklumkan dan saya terus menyerahkan perkara ini kepada peguam untuk mendapatkan kepastian sama ada melanggar perintah injuksi atau tidak.

“Peguam mengesahkan ia melanggar dan surat peguam sudah diserahkan kepada individu berkenaan, semalam,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, Puteri Sarah menerusi peguamnya  menyerahkan perintah injuksi interim kepada pihak defendan iaitu Ira Kazar.

Perintah itu diperoleh dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 Jun lalu meminta defendan berhenti mengeluarkan k kenyataan mengenai Puteri Sarah di media sosial atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan.