fbpx

Adi Putra Didakwa Miliki Kekayaan RM21.9 Juta

Baru-baru ini hangat diperkatakan artikel dari sebuah portal mendedahkan pelakon Datuk Adi Putra memiliki kekayaan sebanyak AS$5 juta (RM21.9 juta).

Memetik Harian Metro, Adi berkata angka yang didedahkan itu tidak penting dan dia hanya meminjam daripada Yang Maha Esa.

BACA: Adi Putra Pertahan Karya Mael Totey The Movie

“Angka itu diberikan orang dan boleh jadi lebih dan boleh jadi kurang. Namun, ia hanya angka dan apa yang lebih penting adalah hala tuju kita sebagai manusia dan hamba-Nya.

“Apa yang perlu kita lakukan dengan tanggapan ini adalah perspektif secara keseluruhan adalah lumrah. Kalau nak menjawab ya atau tidak, saya tidak boleh kerana saya hanya meminjam daripada-Nya saja,” katanya.

Pelakon itu juga turut meminta supaya tidak menggelarkannya jutawan dan mengakui lebih selesa bergerak di belakang tabir.

“Kalau boleh janganlah gelar saya jutawan. Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir. Saya rasa semua dapat melihat sendiri di media sosial saya.

“Ada sesetengah pihak yang menunjukkan kemewahan mereka di laman sosial, itu hak mereka. Bagi saya, saya lebih suka di belakang sebab banyak lagi urusan yang harus saya ceburi. Lakonan masih ada dan kalau berhenti, mereka rindu,” katanya.

Dalam pada itu, Adi turut berkongsikan mengenai perniagaan agensi pelancongan membawa jemaah umrah dan haji yang ditubuhkannya sejak 2013 masih beroperasi.

“Apa yang boleh saya kongsikan, pada 2013 saya menubuhkan satu syarikat agensi pelancongan menguruskan umrah dan haji sehingga sekarang. Cuma dua tahun itu (pandemik), tutup. Tapi, Alhamdulillah dengan kita permudahkan urusan ataupun orang, Insya-Allah Allah permudahkan urusan kita, dan capaikan hajat dan niat kita.

“Itulah permulaan saya dalam bidang perniagaan. Saya banyak di belakang tabir. Saya bukan pembimbing rombongan jemaah, tetapi saya menguruskan pentadbiran agensi saya dan juga yayasan supaya setiap manusia akan sampai ke destinasi mereka untuk melaksanakan ibadah umrah. Selagi ada Kaabah, selagi itu ada pekerjaan umrah mahupun haji itu harus dilaksanakan,” katanya.