fbpx

Pelakon Adam Lee mendedahkan dia sudah menjaga batasnya apabila tidak mengambil tawaran lakonan babak romantik bersama pelakon wanita lain ketika melalui fasa bertunang dengan aktres, Sweet Qismina.

Memetik mStar Online, Adam berkata dia dan Sweet berkata kepercayaan dan menjaga pergaulan antara cabaran paling besar dilalui sepanjang fasa tersebut.

BACA: “24 Oktober Hari Sweet Dilahirkan, Hari Ini Juga Saya Ambil Tanggungjawab Sebagai Suami” – Adam Lee

“Sebelum kami bernikah lagi iaitu dalam fasa bertunang memang kami sudah menjaga batas. Kami akan sentiasa saling mengingatkan.

“Malah, saya pernah ditawarkan membawa watak seorang suami yang perlu beraksi romantis dengan isterinya, tetapi saya tarik diri,” katanya.

Dalam pada itu, Sweet berkata ketika tempoh mengikat tali pertunangan itu juga mereka saling berbincang serta memberitahu tentang apa yang perlu dijaga.

“Ketika itu (fasa pertunangan) baru Sweet tahu kalau berlakon dengan mana-mana pelakon lelaki, ada batas untuk dijaga… begitu juga Adam. Kami sentiasa berbincang untuk memberitahu apa yang perlu dijaga.

“Sebagai seorang pelakon kami tidak boleh mengelak untuk mempunyai pasangan dalam drama, namun apa yang penting kita perlu tahu cara menjaga batas,” katanya.

Sementara itu, Sweet berkata sebagai pelakon, mereka boleh berbincang dengan pengarah untuk mengubah cara lakonan jika ianya membabitkan babak romantik.