“Adakah Satu Masalah Jika Saya Tak Berhubung Dengan Dia?” 

Pelakon Diana Danielle berkata tiada sebab untuk dia terus kekal berhubung dengan bekas suaminya, Farid Kamil.

Memetik Oh Bulan, Diana berkata ianya tidak menjadi masalah jika dia tidak berhubung dengan bekas suaminya itu kerana baginya itu adalah jalan terbaik.

BACA: Farid Kamil, Diana Danielle Hampir Setahun Tak Berhubung

Tambah Diana lagi, dia masih dalam fasa menyesuaikan diri apatah lagi mereka baru saja berpisah pada Mac lalu dan fokus utamanya kini adalah anak-anak.

“Adakah ia satu masalah sekiranya saya tidak berhubung dengan dia?Tiada sebab untuk kekal berhubung. Saya fikir cara kami memilih untuk melangkah ke hadapan dan berkomunikasi tidak perlu menjadikan ia suatu masalah.

“Buat masa ini, biarlah kita semua tenang dahulu, cari rentak hidup yang baru dan fokus utama adalah anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Diana berkata lebih baik jika anak-anak berhubung secara terus dengan bapa mereka, malah dia tidak pernah meletakkan sekatan untuk mereka berjumpa. 

“Saya rasa adalah lebih baik jika komunikasi dibuat secara terus supaya tidak timbul sebarang unsur seperti saya cuba mempengaruhi anak-anak atau perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

“Jika dia merancang untuk melakukan sesuatu bersama, boleh terus bertanya kepada anak-anak,” katanya. 

Sumber: Oh Bulan

×